Selasa, 28 Jun 2011

Menjawab kekeliruan Umno terhadap perjuangan PAS

Sesungguhnya Umno menyambung kerja Inggeris, sebab itu mudah bagi dia untuk mempengaruhi rakyat yang sekian lama terdidik secara sekular. Kita, PAS pula menyambung kerja Nabi Muhammad SAW sehingga semua manusia yakin kerja politik dan agama tak boleh dipisahkan. Sebab itu Umno marah kepada PAS kerana melaksana kerja Nabi yang berlawanan dengan ajaran sekular. Pagar kita diceroboh oleh ayam kambing mereka. Kita kena tutup pagar kita daripada diceroboh, walaupun dimarah oleh Umno.
Persoalannya, apakah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu serupa dengan kehendak sekular (agama lain, politik lain). Kalau serupa dengan kehendak sekular, tidakkah tindakan Nabi Muhammad menyampaikan salam perjuangan, buat perjanjian, mengadakan hubungan diplomatik dengan ketua-ketua kerajaan di Eropah itu adalah semata-mata untuk menyampaikan dakwah Islam. Menunjukkan Islam yang dibawa oleh Nabi itu bukannya ajaran serupa sekular yang menjadi pegangan Umno.

Nabi dan politik bernegara

Demikian pula, Nabi sendiri ada cop mohor (cincin). Ia suatu lambang kuasa dalam urusan kerajaan dan politik bernegara. Dan di dalam al-Quran sendiri menyebutkan masalah muamalat, jenayah dan pemerintahan. Bukan hal spiritual sahaja. Hal kerajaan, peperangan dan perdamaian. Malah ketika peperangan turut dijelaskan aturan dan peraturan yang boleh dan tak boleh (do’s and don’t). Misalnya, ada pantang larang tak boleh bunuh orang tua, kanak-kanak, hatta golongan ‘ahbar’ yang berada di dalam gereja/biara tak boleh dibunuh semasa peperangan.

Kalau Islam untuk spiritual sahaja apa maknanya, sampai Allah pelihara Nabi selama 23 tahun menjalankan dakwah dan dan bertugas sebagai nabi dan rasul. Nabi telah menempa segala macam ujian dan rintangan serta penentangan daripada pelbagai pembesar Quraisy dan pihak berkuasa.

Sementara Umno sejak dari PAS ditubuhkan, malah sebelum itu sebuah gerakan Islam bernama Hizbul Muslimin, sentiasa menjadi serangan fitnah. Kelihatan sangat, Umno begitu dengki kepada PAS, kerana PAS boleh buat apa yang dia tak boleh buat, iaitu melaksanakan apa yang Islam suruh dan mencegah apa yang Islam larang.

Islam di sisi Umno

Sebenarnya, Islam di sisi Umno adalah ‘pecah-belah’ dan kita tidak sepatutnya terperangkap dengan tuduhan liar dan fitnah yang dicanang oleh mereka itu.

Umno sepatutnya terima Islam, kalau benar dia parti yang dipimpin oleh orang Islam, dan kalau nak jadi parti yang mewakili umat Islam. Apakah yang susah sangat bagi Umno nak ubah dasar? Tak kena di mana Islam, berbanding dengan dasar kebangsaan mahu pun demokrasi.

Bab demokrasi pula, benarkah Umno yang memerintah negara sekarang ini benar-benar melaksana demokrasi? Lihat saja apa yang berlaku, sampai ke peringkat parti pembangkang tak terasa, bagaimana demokrasi sebenar.

Demokrasi tempang

Sebaliknya, setiap kali pilihan raya, berlaku keadaan ‘padang tak sama rata’ kerana Umno dan parti-parti di bawah BN mendapat segala kemudahan atas nama kerajaan untuk berkempen. Sedangkan kita PAS dan rakan Pakatan Rakyat ditekan dan dinafikan hak berkempen secara bebas. Natijahnya tiada kebebasan bersuara, berkempen dan terlalu berat sebelah. Munasabahnya demokrasi kita ini adalah demokrasi tempang––demokrasi pun tidak Islam jauh sama sekali––diamalkan oleh Umno sekarang ini.

Malah, melihat kepada amalan demokrasi di beberapa negara jiran, mereka lebih berjaya. Demokrasi subur di Indonesia, Thailand dan Kemboja. Sedangkan mereka negara baru dalam dunia demokrasi. Amalan demokrasi di negara tersebut, mereka lebih telus, terbuka dan hak parti bertanding dilayan secara adil dan ada kebebasan serta keamanan berkempen termasuk dalam media milik kerajaan. Misalnya, dalam isu daftar pemilih peraturannya mudah, pengundi boleh mendaftar di saat akhir menjelang pilihan raya dan boleh mendaftar melalui wakil badan pilihan raya di tempat mereka akan mengundi.

Bandingkan dengan tempat kita, peraturan yang ada menyulitkan kerana dilaksana secara berpusat, masanya panjang, paling cepat empat bulan lepas mendaftar baru sah sebagai pemilih. Kenapa susah sangat nak pinda peraturan pendaftaran pemilih? Nampak sangat Umno guna ruang daftar pemilih sebagai penyelamat kuasa. Perkara ini boleh dijadikan modal dan penjelasan seluas-luasnya kepada rakyat sebagai asas menolak Umno dalam pilihan raya nanti.

Minta PAS berbaik

Justeru kita perlu menegaskan, Islam sentiasa mengutamakan hak rakyat sebagai pendukung utama kepada sistem yang adil. Maka pihak yang berkuasa perlu melaksanakan apa sahaja keadilan untuk semua rakyat sebagaimana diajar di dalam Islam.

Seperkara lagi, Umno kebelakangan ini nampak sangat cemas dan kalut. Sehingga guna orang tertentu dan NGO, minta PAS berbaik dengan Umno atau minta masuk BN. Setengahnya pula kata PAS yang beria-ia nak berbaik.

Kita kena katakan kepada mereka, sejarah dulu bukan PAS yang beria-ia masuk BN. Masa itu, yang datang pujuk adalah Tun Razak. Atas maslahat masa itu, kita terima pujukan. Tapi apa yang terjadi budi kita tidak dikenang, selepas mereka kuat kita ditendang keluar.

Atas prinsip ini, kita harus tegaskan bahawa PAS dan Umno adalah tak sama. Hatta Rais Yatim pun satu ketika dalam Semangat 46 dulu menyebutkan slogan PAS dan Umno adalah tak sama. PAS ada prinsip akidah perjuangan Islam, Umno pula kebangsaan Melayu. Jika masuk Umno, maknanya kita bersama kebangsaan Melayu dan ketika itu mungkin Islam diketepikan. Ia mustahail bagi sebuah gerakan Islam. Melainkan Umno sedia tukar dasar perjuangannya dan terima Islam.

PAS bersama semua

Sekarang pula, PAS semakin mendapat sokongan golongan bukan Islam. Selain itu, kita berjaya tubuh dewan himpunan PAS yang dianggotai rakan kita, orang bukan Islam, kita juga sudah berkawan rapat dan berjaya merapat jurang hubungan antara kaum melalui parti DAP. Paling penting ialah DAP yang sebelum ini ditohmahkan sebagai anti-Islam, kini sudah menyokong perjuangan PAS. Malah boleh duduk bersama memerintah Negeri. Tunggu masa, insyaAllah boleh bersama memerintah Negara!

Kesemuanya adalah nikmat yang diraih oleh PAS setelah bertahun-tahun bersendirian berjuang melawan Umno untuk membuktikan keadilan Islam. Mungkin atas dasar itu, Umno sekarang berminat kepada sokongan PAS. Malah Umno dilihat semakin dengki kepada PAS kerana berjaya menganjurkan program keagamaan seperti sembahyang hajat perdana dan munajat anak muda.

Hakikatnya, Umno tak layak menganjurkan program sebegitu kerana akan menjadi bahan ketawa orang. Meskipun bersama mereka ada menteri bahagian agama dan ulama muda. Masakan nak bermunajat dan sembahyang hajat, sedangkan dasar perjuangan Islam mereka tolak. Mereka ambil perjuangan sekular.

PAS berbeza dengan Umno

Semua perkara yang dinyatakan ini adalah hakikat berbezanya perjuangan Islam di bawa PAS dengan perjuangan kebangsaan-sekular Melayu dibawa oleh Umno. Atas dasar berbeza itu, kini PAS semakin mendapat sambutan pelbagai lapisan rakyat.

Justeru pengalaman PAS di Kelantan hari ini cukup jelas untuk Umno berfikir. Bahawa PAS bukan lagi parti ‘tok lebai’ seperti yang disyarahkan oleh tukang syarah Umno. Dalam mengurus Negeri (menjalankan kerajaan) di Kelantan, ia merupakan gandingan mantap mereka yang pakar dalam pelbagai bidang. Ada doktor, loyar, pensyarah, bekas tentera, aktivis ABIM, JIM yang cukup berwibawa. Di manakah kurangnya PAS berbanding Umno? Sebaliknya Umno itu dianggap kurang kerana tidak mahu terima Islam sebagai dasar parti dan dasar pemerintahan Negara.

Tambah lagi, dalam Islam ada segala-galanya, termasuklah Islam mengajar umatnya tentang hari akhirat yang ada pembalasan. Prinsip pembalasan di akhirat ini turut dipakai dalam perjuangan PAS. Justeru kita PAS yakin atas semua perkara yang kita perjuangkan menerusi PAS ini akan dihisab nanti di akhirat. Inilah PAS dan itulah Umno yang tidak menerima prinsip adanya pembalasan di akhirat. Maka apa jaminan Umno untuk berdepan dengan kiamat, syurga dan neraka. Jika menghayati peringatan Allah SWT dalam persoalan ini, sebagaimana firman-Nya (surah Al Infitaar ayat 13-15):

“(Gunanya catatan malaikat-malaikat itu ialah: Untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) kerana sesungguhnya: Orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat. Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam Neraka yang menjulang-julang. Mereka menderita bakaran Neraka itu pada hari pembalasan.”
Apakah persoalan hari pembalasan sebegini termasuk di dalam perkiraan Umno? Apakah dasar Umno dapat melepas diri daripada bakaran Neraka Allah?Demikian pula firman-Nya (surah At Takweer ayat 25-29):

“Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam. (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)? Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam. Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.”
Demikian sedikit gambaran dari Allah SWT tentang kedudukan kita ketika di akhirat. Apakah Umno sedia memasukkan agenda akhirat ini dalam perjuangannya. Bahawasanya, perjuangan Islam sahaja yang layak bercakap mengenai urusan akhirat kerana akhirat itu salah satu rukun iman yang dijulang dan diyakini oleh setiap perjuang Islam. Bagaimana pula Umno menilai diri/partinya mengenai akhirat?

Akhirnya, beringatlah kita semua, ‘bila jiwa (roh) di langit masuk balik ke dalam tubuh’ maka akan berhadapanlah kita di padang Mahsyar. Hanya Allah yang Maha Adil atas setiap perbuatan hamba-Nya. Firman Allah (surah az-Zilzaal ayat 7-8):

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
Semoga kita semua berada di landasan kebaikan dan sentiasa menjauh diri daripada kejahatan. Demikian jaminan Allah untuk kehidupan yang hasanah di dunia dan akhirat.

Dahulukan CIRI-CIRI bukan NAMA

Setelah Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar menanyakan kepada puterinya, Sayyidah Aisyah,

“Anakku adakah sunnah (kebiasaan) kekasihku yang belum aku kerjakan?”

Kemudian Sayyidah Aisyah menjawab,

“Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah. Hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja. Setiap pagi, Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana.”


Keesokan harinya Saidina Abu Bakar pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Beliau bertanya kepada seseorang, kiranya dimana dia dapat menemui pengemis Yahudi yang buta itu. Lalu dikatakan kepadanya bahawa untuk mengenalinya mudah saja. Jika ada seorang tua yang buta dan dari mulutnya selalu keluar kata-kata umpatan bagi Nabi Muhammad, maka itulah orangnya.

Bayangkan, di kota yang dipimpinnya, ada orang yang setiap hari kerjanya mencaci-maki beliau, tetapi Nabi Muhammad membiarkan orang tersebut. Beliau tidak menangkapnya, tidak menghukumnya, bahkan menyantuninya.

Saidina Abu Bakar mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Saidina Abu Bakar mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, “Siapakah kamu?”

Saidina Abu Bakar menjawab, “Aku orang yang biasa.”

“Bukan! Engkau bukan orang yang biasa menyuapiku,” jawab si pengemis buta itu.

“Apabila orang yang sering menyuapiku datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu ia menghaluskan makanannya sehingga aku tidak susah mengunyahnya,” kata pengemis buta itu.


Saidina Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya. Orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW.”

Mendengar penjelasan Saidina Abu Bakar, Yahudi tua itu begitu terharu hingga meneteskan air mata, kemudian berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghina dan memfitnahnya, namun ia tidak pernah memarahiku sedikitpun. Ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Sungguh ia begitu mulia.”

Pengemis Yahudi buta itu pun akhirnya bersyahadat di hadapan Saidina Abu Bakar.

*Begitulah suri teladan dan contoh yang baik telah Rasulullah tunjukkan kepada kita umat Baginda.

Dahulukan ciri-ciri bukan nama

-Ini merupakan kisah benar daripada periwayatan hadith. Sebagai contoh terbaik untuk diikuti. Bukan sekadar cerita rekaan manusia. Allah menetapkan jalan hidup Rasulullah sebegini untuk ikutan umatnya.

"Sesungguhnya pada Muhammad itu menjadi contoh yang paling baik untuk kamu"
(Surah Al Ahzab, 21)



Daripada kisah ini, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah tidak langsung memperkenalkan namanya dalam menyampaikan islam, yang baginda lakukan hanya 'qudwah'/contoh yakni mengimplimentasikan islam itu sendiri sebagai cara hidup baginda. Ini contoh terbaik yang Rasulullah dapat buktikan bahawa tonjolkan dahulu ciri-ciri sebelum nama baginda. Lihat dalam kisah riwayat tadi, pengemis buta itu hanya tahu orang yang menyuapkannya adalah Rasulullah SAW, selepas baginda wafat, selepas Saidina Abu Bakar menceritakannya.


Fokus dahulu kepada perwatakan dan karakteristik sebelum menonjolkan nama/imej. Imej islam itu akan tertonjol sendiri apabila ciri-ciri/perwatakan/karakteristik islam telah diaplikasi dalam seluruh hidup kita. Adapun, ia proses yang akan terjadi, sama lambat atau cepat. Sunnatullah.


Al Muntalaq, Bab 11 , Panji Kebaikan , m/s 91:

" ...dengan mengibarkan bendera kebaikan yang dapat dilihat oleh orang yang baik, lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Apa yang kurang pada umat islam pada hari ini ialah bendera dan panji."

'Bendera dan panji' sebenar yang dimaksudkan adalah, syiar islam. Syiar bukan mesti dengan menonjolkan nama anda serta jawatan , persatuan/kelab tetapi dengan wujudnya suasana/ environment islam itu lebih penting. Ramai yang solat berjemaah di masjid, menghadiri program-program islam dan suburnya suasana ukhuwah fillah serta budaya ilmu dalam kalangan masyarakat/ kampus itu lebih penting. Wujudkan budaya ilmu dan kesarjanaan, mungkin generasi sebelum ini sudah melakukannya, cuma antum yang perlu menyambungnya.

Tabiat Program Al Quran, Ma'alim Fi Thariq, m/s 27:
"Program agung ini tidak akan jdi murni kerana Allah kalau dakwah itu memulakan langkah sulungnya dengan dakwah bercorak kebangsaan atau bercorak sosial atau berupa seruan ke arah kebaikan moral atau mengibarkan panji-panji yang lain daripada LA ILAAHA ILLALAH."

Ini hanya sedikit cebisan ilmu Allah, yang ana dapat sampaikan untuk antum semua.
Sedangkan Allah itu Maha Mengetahui, segala yang ada di langit dan di bumi.
Wallahualam.



Andai aktivisme meminggirkan ukhuwah, maka pilihlah ukhuwah.-HAB

Sumber:
Al Quran.
Kitab Shahih Bukhari
Al Muntalaq, Syeikh Muhammad Ahmad Arrasyid.
Fiqh Sirah, Jilid I, Syeikh Muhammad Said Ramadhan Al Buti.
Da'watunna, HAB. Maa'lim Fi Thariq, SQ.