Rabu, 29 Jun 2011

Provokasi keterlaluan Bersih 2.0

Nasrudin Hassan
1. Saya ingin merujuk kepada laporan berita bertajuk, “Batalkan Jika Tidak Mahu ‘Perang’ – Omardin” yang telah dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada tarikh 27 Jun 2011. Sejak pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengeluarkan kenyataan media mengenai teknik kerajaan menakutkan rakyat untuk menghadiri Himpunan BERSIH 2.0 beberapa hari lalu, kami telah menjangkakan tekanan dan ugutan yang lebih dahsyat akan dipertingkatkan menjelang 9 Julai nanti.

2. Keadaan pada hari ini bertambah getir apabila provokasi demi provokasi terus dimarakkan oleh akhbar lidah UMNO, Utusan Malaysia. Terbaru, sepertimana petikan daripada laporan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada 27 Jun 2011, secara jelas Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia mengeluarkan kenyataan yang agak keras dan keterlaluan.

Memetik daripada laporan berita tersebut;

Beliau menasihatkan Ambiga supaya membatalkan segera hasrat menganjurkan perhimpunan itu kerana khuatir tidak akan dapat mengawal emosi anak-anak didiknya jika mereka bertembung pada perhimpunan itu nanti.

Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh beri jaminan bahawa kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut.

3. Ugutan sedemikian sebenarnya turut mencemarkan Institusi Budaya dan Seni Silat tanahair kita yang selama ini, secara tradisi dan warisannya sangat dikenali sebagai satu Institusi yang sangat tinggi wibawa dan disiplinnya. Malah begitulah layaknya jiwa dan karektor pendekar - pendekar tanahair yang tinggi budi dan halus pekerti disebalik kehebatan dan keperkasaan ilmu mempertahankan diri. Selayaknya pula pendekar dan satria tanahair digunakan untuk mempertahankan negara dan menegakkan keadilan, bukannya mem'belasah' rakyat sendiri yang mahu menuntut keadilan secara aman. Apakah himpunan untuk menunjuk perasaan rakyat secara aman agar beberapa tuntutan mereka diberi perhatian dan ditunai oleh kerajaan telah menjadi satu kesalahan dalam negara kita? apakah negara kita telah menukar sistem demokrasinya kepada sistem autokrasi?

4. Jika pihak BERSIH 2.0 boleh dan mampu memberi jaminan bahawa pesertanya berdisiplin dan hadir berhimpun dengan aman dan ia adalah satu komitmen yang konsisten dan dipertegaskan berulang kali, kenapa pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara mengeluarkan kenyataan tidak dapat mengawal emosi anak didiknya sehingga boleh mendorong tercetusnya pertembungan.

5. Jika pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara tidak berupaya mengawal emosi anak didiknya, maka usahlah dikerahkan anak didik Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara turun pada hari yang sama untuk bertembung dengan pihak BERSIH 2.0 kerana kami bagi pihak BERSIH 2.0 sekali lagi mempertegaskan bahawa kami tidak turun dengan membawa semangat mahu bertembung dengan sesiapa sebaliknya hanya sekadar mahu mengadakan " Berjalan untuk Demokrasi " sambil membawa 8 tuntutan sebagaimana yang telah dimaklumi oleh semua pihak.

6. Hari ini kita dapat saksikan bagaimana pihak kerajaan dan pengamal media tertentu dengan sengaja memainkan peranan seolah-olah ingin merancang suatu keadaan yang huru hara sehingga melibatkan pertembungan fizikal pada 9 Julai ini. DPPM ingin tegaskan bahawa tiada sebarang agenda sulit atau himpunan untuk mencetuskan kekacauan daripada rakyat menerusi anjuran BERSIH 2.0. Ini adalah satu perkara yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan.

7. Amat mengecewakan apa yang berlaku hari ini adalah hak rakyat untuk berhimpun telah dinafikan malah diancam dengan pelbagai cara. Ancaman demi ancaman inilah yang membawa kepada kekacauan sebagaimana yang telah dimomokkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Lebih mengecewakan tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak polis terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur sentimen huru hara berkenaan. DPPM yakin semua pihak mahukan negara yang aman. Maka, tidak perlu provokasi keterlaluan sehingga boleh mengheret rakyat kepada situasi yang menakutkan.



8. Demikian juga dengan beberapa siri himpunan bantahan yang dilakukan oleh pihak pemuda UMNO dan juga PERKASA dengan mengeluarkan kenyataan berupa ugutan dan ancaman sedang pihak BERSIH telah berkali - kali membuat komitmen untuk memastikan Himpunan BERSIH 2.0 kelak akan berlangsung dalam keadaan aman. Malangnya pihak berkuasa tidak pula mengambil tindakan kepada pihak yang mencetus provokasi dan beria - ia mahu berperang, bertembung dan sebagainya. Lebih malang apabila yang menjadi sasaran pihak berkuasa hanyalah BERSIH 2.0 yang bertegas mahu menganjurkan himpunan secara aman .

9. Apakah pihak kerajaan turut bersubahat dengan `pihak yang mencetus provokasi hanya semata - mata tidak mahu melihat himpunan BERSIH 2.0 ini berjaya dilakukan. Situasi ini jelas menunjukkan seawal - awalnya pihak kerajaan telah TIDAK berlaku adil dalam menangani isu ini.

10. Penegasan yang sekali lagi saya mahu utarakan kepada semua khasnya kepada pihak kerajaan bahawa kami terutamanya anak - anak muda yang akan turun pada 9 Julai 2011 kelak adalah mewakili rakyat yang mahukan keadilan , keamanan dan kesejahteraan. Kami tidak turun dengan membawa senjata demikian juga kami tidak sekali - kali akan mencetus provokasi yang mengundang kepada ancaman keselamatan kepada pihak lain. Sebaliknya ikrar kami, hanya turun membawa hati dan perasaan yang mahukan keadilan dan hak diberikan kepada kami secara saksama setelah sekian lama hak kami dinafikan seperti yang tersenarai dalam 8 tuntutan kami.

1. Clean the electoral roll

2. Reform postal ballot

3. Use of indelible ink

4. Minimum 21 days campaign period

5. Free and fair access to media

6. Strengthen public institutions

7. Stop corruption

8. Stop dirty politics

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.

Contohnya:

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Masuk Islam, Bukan Masuk Melayu

“Eh, kami di sini semua bukan melayu, yang diaorang ni aceh, yang ni sabahan, yang ni pula cina, dan seorang saja yang melayu” Sambil menuding jari tepat ke arah saya.
“ha ha ha ha…. ” Semua ketawa, meriah.
“Nampak sebiji macam orang melayu, langsung tak nampak macam orang cina” Selalu dia akan memberi kritikan seperti ini.
“Ya lah, saya bukan cina tulen, mak saya kan murut, tu yang nampak macam melayu sikit… hahaha…” Selalunya saya akan menjawab begini.
Selepas itu, dia akan jawab, “Mata je nampak sepet”
Ataupun kalau anda menerima surat jemputan ke mana-mana program anda akan melihat satu frasa pada bahagian yang berkaitan dengan Tema Pakaian. di sana akan tertera “Baju Melayu Lengkap”
Maknanya anda perlu memakai baju melayu, songkok, sampin dan kasut hitam, ataupun sandle. Kalau ingin tahu, dahulu saya memang tidak pandai memakai sampin, perkara yang paling saya risaukan ialah sampin itu akan longgar dan jatuh ketika saya berjalan-jalan di khalayak ramai. Namun, akibat daripada tuntutan majlis dan program oleh pihak penganjur, alhamdulillah, saya sudah pandai memakainya. hehehe…..
Baiklah, apakah apabila anda masuk islam anda akan menjadi melayu? Di semenanjung yang sinonim dengan Melayu ialah mereka yang menganut ajaran agama Islam. Dalam kempen-kempen pemimpin melayu selalunya akan merentangkan slogan seperti ini untuk meraih sokongan daripada bangsa melayu:
“Umat Melayu Islam mesti bersatu”
“Jaga kepentingan Melayu dan Islam”
“Marilah bersatu demi Melayu dan Islam”
“Penting untuk Melayu dan Islam”
Persoalannya, kalau anda cina, india, bumiputera sabah dan sarawak memeluk islam, apakah anda perlu untuk berjuang pada bangsa melayu, dan hidup dengan budaya orang melayu?
Apakah perlu anda bersetuju dengan perjuangan mereka setelah anda memeluk islam?
Saya pernah ditanya oleh ahli keluarga mengenai perkara ini. Ketika itu kami sedang berbual dengan meriah di ruang tamu rumah kediaman.
Abang saya mewujudkan persoalan “Kamu kan sudah jadi melayu…. ”
Saya tersentak seketika apabila dia berkata begitu. Kemudian saya menjawab begini:
“Sejak bila pula saya jadi orang melayu? Saya tetap berketurunan cina murut, saya tetap daripada keluarga ini, bagaimana pula saya boleh jadi melayu?”
Semua yang ada di ruang tamu itu senyap, kakak, abang, adik,dan ibu saya juga ada pada itu.
Saya menyambung,
“Kalau begitu macam mana pula saudara kita yang lain menganut agama kristian? Mereka tetap orang murut, tapi beragama kristian, bangsa adalah bangsa, agama tidak sama dengan bangsa”
Sejak daripada penjelasan itu, ia menyebabkan saya lega sehinggalah pada hari ini. Perkara yang menjadi persoalan pada hari ini, apabila seorang itu memeluk agama selain daripada islam, seperti menganut agama kristian, pihak keluarga tidak akan menghalangnya, tetapi mengapakah apabila seorang yang ingin menganut islam, dia perlu untuk menghadapi pelbagai tekanan daripada pihak keluarga?
Antaranya ialah adalah masalah seperti ini. Semoga niat anda akan terus kukuh, untuk menjadi hamba Allah yang sejati.

Apabila anda memperjuangkan agama Islam, bermakna anda memperjuangkan semua bangsa dan keturunan

Aku Yang Berkuasa!

Gila kuasa, taksub melihat kehebatan diri,pendapat peribadi, atau ingin mengambil kesempatan di sebalik ruang-ruang yang ada untuk mencari kesenangan. Maklumlah, dengan jawatan dan kuasa yang ada, boleh melakukan banyak perkara. Mahu jadi kaya raya, atau ingin mencapai matlamat diri agar hati rasa bahagia. Dalam dunia ini, tidak kiralah di sini atau nun jauh di dunia sana, perangai sikap manusia yang gilakan kuasa ada di mana-mana. Tidak kiralah orang ini dalam jemaah yang membawa panji perjuangan, semulia mana dan tingginya kedudukan mereka, apatah lagi tangan-tangan kejam, yakni insan yang sentiasa disanjung tinggi, walaupun dialah penzalim dan penindas rakyat. golongan sebegini tidak perlu dicerita, kerana mereka ada di sana-sini.
Syeikh Muhammad al Ghazali pernah menemui Muryidul Am ketiga Ikhwan Muslimin, Ustaz Umar Tilmisani dalam usaha bekerjasama dan menyumbang untuk Islam . Beliau ditanya oleh Ustaz Umar,
“Kamu tahu pekerjaan ini [memimpin Ikhwan] merupakan beban berat yang terpaksa kupikul dan kuterima ?”
Muhammad al Ghazali menjawab,
“Aku tahu hal itu. Kerana itu bermatlamat tampil di depan dan tidak inginkan jawatan. Orang seperti anda sangat berhak mendapat perlindungan dan bimbingan Allah”
Dalam memimpin sebuah organisasi perjuangan, bebanan pelbagai amanah dan tanggungjawab sepatutnya menjadi perkara sesuatu yang sangat berat untuk dipikul. Tapi apa yang jelas hari ini, budaya jatuh-menjatuhkan, fitnah dan mereka cerita untuk menjatuhkan sesiapa saja yang mereka tidak suka, seolah-olah sudah menjadi halal di pandangan manusia. Mereka berkata, seolah-olah ia benar belaka, setelah diolah, dicampur pelbagai ramuan hujah, maka jadialah ia satu menu yang kelihatan seperti benar, namun segalanya adalah batil dan penipuan semata-mata. Hipokrit dengan perjuangan peribadi, tiada kesatuan dalam berfikir dan bergerak. Segala yang dirancang, akan menjadi sia-sia dan tidak dapat dijalankan, hancur terlerai begitu saja, kacau bilau jadinya. Inilah yang berlaku di mana-mana organisasi selagi mana orang sebegini ada.
Andai Jimi Hendrix, seorang gitaris Rock A berkata,
“Ketika kekuatan akan cinta melebihi kecintaan akan kekuasaan, maka dunia pun menemukan kedamaian.”
Apa yang jelas hari ini, dalam dunia yang penuh dengan nilai kemanusian yang zalim, telah hilang cintanya pada kebenaran, apa yang tumbuh subur ialah sikap ingin mendapatkan kuasa dengan cara penjajahan dan penindasan. Si anak kecil yang tidak tahu apa-apa, sudah pandai melaungkan semangat kesatuan, namun selalunya mereka ini dikatakan sebagai orang yang tidak matang. Si anak muda yang mahu bangkit mengibarkan panji kebenaran, akan dilabel sebagai pengganas, agresif, emosional dan yang sama maksud dengannya. Maka, akan nampaklah mereka seperti golongan yang salah, dibuka seluas-luasnya cerita mengenai cara mereka yang tidak kena.
Maka jelaslah seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w,
“Apabila pemerintah mereka tidak memerintah mengikut kitabullah, ketahuilah bahawa Allah s.w.t, akan pecah-belahkan mereka dan menjadikan mereka berbalahan sesama sendiri. ” [Riwayat ibnu majah]
Dalam mana-mana sistem pentadbiran, sekiranya ia lari daripada mengkuti landasan yang sebetulnya, sama ada orang islam atau pun bukan islam, yang pastinya akan menjadi kacau bilau. Ketidakadilan, penindasan, bermesyuarat dan membuat keputusan dengan pihak yang tidak sepatutnya, walaupun ia berniat baik atau jahat, selagi mana ia tidak mengikut landasan dan cara yang betul ini, pastinya akan mengundang bencana perpecahan. Dengan alasan,
“Saya berkuasa kerana saya adalah pemimpin”
Kenyataan ini merupakan satu kesilapan besar, bagi mereka yang berjawatan besar. Hari ini, tiada siapa lagi yang kebal boleh bersikap autokratik dalam kepimpinan. Mungkin orang lain boleh menjalankan kerja yang diberikan itu, tetapi akan timbul satu perkara, tiada rasa hormat dan kepercayaan kerana ia bukanlah keputusan yang dibuat bersama. Pemimpin itu mungkin agak sukar untuk hilang kuasa, tapi yang pastinya dia akan kehilangan pengaruh dan kepercayaan oleh mereka yang dipimpin. Bila saja dia berkata, kelihatan orang lain mendengar, namun sebenarnya apakah mereka yang mendengar menerimanya sebagai satu idealisme, iktibar, dan panduan? Saya katakan tidak !

Ustazah Pilihan : Dunia Sedang Menipu

Dunia seakan sedang bergembira dengan kehadiran rancangan realiti yang bercambah-cambah, bagai buah durian yang berbuah pada musimnya. Mungkin rancangan yang paling hangat sekarang dimenangi oleh rancangan realiti Maharaja Lawak.

Tidak dinafikan, rancangan yang mengumpulkan pemenang tiga tempat pertama setiap musim Raja Lawak diberi peluang menghiburkan penonton dengan lawak yang lebih menjadi daripada sebelum ini begitu menghiburkan setiap lapisan masyarakat dengan lawak yang berbagai-bagai.

Mungkin sekarang, bukan sahaja di Jepun, malah saya percaya di Malaysia dan negara-negara lain juga heboh membualkan perihal Mak Jemah dan Mail Lambung , watak yang dicipta oleh kumpulan Jozan saban minggu untuk meraih undi dalam rancangan realiti Maharaja Lawak. Ya, ia sesuatu yang seronok dijadikan bahan bualan.

Namun,bukanlah perihal Mak Jemah dan Mail Lambung yang ingin saya kupas kali ini. Ianya lebih kepada keperluan rancangan realiti dewasa ini. Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan kebanyakan rancangan realiti yang sedang rancak dimainkan di televisyen.

Ya, ianya menghiburkan tetapi dimana moral-moral Islam yang dapat kita tanam daripada rancangan realiti berbentuk hiburan seperti Akademi Fantasia yang bertahan hingga musim kesembilan, Mentor, mahupun sehati berdansa.

Mari saya senaraikan disini moral-moral yang ditunjukkan dalam rancangan realiti tv diatas, sama-sama kita nilai;

1. Dilihat ramai wanita Islam yang tidak menutup aurat malah berpakaian menjolok mata sedang menghiburkan penonton yang bersorakan saban minggu untuk meraih undi.

2. Jika peserta itu sudah berkahwin, dilihat wanita itu berpegangan tangan dengan lelaki bukan mahram ketika menyanyi dan menari.

3. Memanglah peserta yang masuk sehati berdansa ini suami isteri tetapi adakah ia nilai yang bagus apabila suami melambung-lambung isterinya ketika menari dan isteri pula memakai pakaian yang tidak menutup aurat.

Adakah ianya moral yang harus ditunjukkan dalam usaha kita mendidik anak-anak kecil, anak-anak remaja atau yang lebih mudah, genenasi akan datang ini kembali hidup di bawah naungan Islam? Masa berjalan, usia bertambah, anak-anak kecil bakal menjadi remaja, anak-anak remaja pula bakal menjadi dewasa dan memimpin negara.

Namun, dalam pada kita semua sedang membesar, jahiliah pula sedang ligat mengejar mengejar kita. Kita latih anak-anak kecil kita solat dan mengaji, rancangan-rancangan di televisyen pula seakan mahu mengajar anak-anak kita tentang nilai barat yang menyimpang jauh dengan nilai Islam. Seperti mahu bertanding dengan kita untuk memenangi hati anak-anak kita. Kita lihat ia sesuatu yang remeh kerana ia hanya rancangan televisyen yang ditonton ketika waktu lapang.

Namun kita silap, kerana perkara remeh inilah sebenarnya akan mempengaruhi pemikiran anak-anak kita kelak sekaligus membuat mereka mula keliru yang mana satu nilai patut mereka amalkan dan yang mana satu nilai yang patut mereka elakkan.

Perkara remeh inilah sebenarnya yang akan membentuk minda dan pemikiran anak-anak kita, adik-adik kita suatu masa nanti.

” Apa yang kita baca, lihat dan dengar sekarang menggambarkan kita lima tahun akan datang.”

Kata-kata nasihat seorang kakak kepada saya. Mulanya saya kurang jelas maksudnya, tetapi apabila saya renung dan fikirkan, saya begitu bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh kakak ini tadi.

Ya, ada benarnya kata-kata itu. Jika fikir secara logiknya,kalau sekarang kita minat membaca buku resepi mustahil daripada buku resepi itu kita mampu dapat banyak ilmu kejuruteraan. Jika sekarang kita suka tengok rancangan hiburan, mustahil kita boleh belajar banyak tentang Islam daripada rancangan hiburan itu.

Jadi adalah mustahil anak-anak muda yang membesar bersama hiburan mampu menjadi orang yang hebat dalam menegakkan agama Islam. Orang yang mahu menjadi hebat dalam Islam tidak mungkin menghabiskan masanya dengan hiburan. Orang yang mahu menjadi hebat dalam Islam perlukan suasana yang penuh keislaman supaya apa yang dilihat, dibaca dan didengar itu dapat mengingatkan mereka kepada Allah s.w.t.

Kita ini hidup atas nama muslim, perlu hidup dalam kehidupan Islam kerana kita menuju ke kehidupan yang lebih pasti di akhirat sana. Dalam usaha menjadi muslim yang baik, yang faham tentang Islam sepenuhnya, saya yakin hanya satu caranya iaitu kita perlu hidup dalam suasana Islam juga. Jadi mana rasiaonalnya rancangan-rancangan hiburan ini dalam membentuk suasana Islam disekeliling kita?

Kewujudan rancangan realiti Imam Muda sedikit sebanyak merubah keadaan dunia yang sedang bergelora melayan hiburan yang tiada kesudahan. Rancangan realiti ini punya intipati berbeza dengan rancangan realiti lain. Bermatlamat melatih anak-anak muda menjadi lelaki-lelaki hebat yang punya kelebihan dari segi ilmu agama dan pengamalannya. Moga dapat melahirkan lelaki-lelaki muslim yang hebat yang mampu memimpin keluarga juga masyarakat ke arah kehidupan yang penuh keislaman.

Moga ia diteruskan dan moga peserta yang beratur untuk menyertai rancangan ini lebih panjang daripada barisan mereka yang memohon untuk masuk Akademi Fantasia. Ini bukan sindiran tapi ia lebih kepada pengharapan.

Rancangan realiti berbentuk islamik ini memang perlu diteruskan musim saban musim. Namun sesuatu yang mengecewakan apabila saya terdengar ura-ura mengatakan bakal ada rancangan yang tajuknya Ustazah Pilihan di kaca tv. Bakal ada atau sudah ada saya tidak pasti, bagaimana bentuk programnya juga saya seperti tidak mahu ambil tahu.

Cukuplah disini saya suarakan rasa tidak setuju dengan rancangan realiti ini. Apalah sangat yang perlu ditonjolkan dalam rancangan sebegini. Nampak islamik kerana ada nama ustazah disitu tetapi puas saya berfikir, apakah motif rancangan ini diwujudkan?

Kalau benar ia diwujudkan untuk tambahkan lagi nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat sekarang ini sekalipun, mengapa perlu adakan rancangan yang menonjolkan wanita-wanita Islam disini. Mungkin saya tidak mampu jelaskan pada semua kenapa saya membangkang rancangan ini, namun cukuplah saya katakan bahawa wanita-wanita Islam ini tinggi nilai dan harganya.

Islam begitu menjaga kehormatan dan darjat wanita muslim sehingga banyak ayat dalam al-Quran yang menjelaskan tentang wanita. Pada saya, tidak kiralah wanita itu bergelar ustazah ataupun tidak. Jika benar mahu wujudkan suasana Islam, jika ikhlas bekerja mahu sampaikan Islam kepada orang ramai, jika benar mahu menjadi wanita hebat dalam Islam, kita tidak perlukan rancangan realiti yang rata-rata akan menonjolkan apa yang kita lakukan.

Bukan mahu membuat tanggapan negatif, cumanya bimbang, apabila sudah masuk rancangan realiti sebegini, ramai pula yang mengejar populariti daripada keikhlasan. Jika benar kita ustazah yang ikhlas bekerja, ia tidak menunggu hingga wujudnya program realiti sebegini. Cukuplah kita bekerja dan cukuplah Allah sebagai penilainya.

Ustazah Pilihan? Dunia sedang menipu kita! Tajuknya nampak begitu islamik namun mari kita fikir dan kaji, sejauh mana ia mampu membawa masyarakat kepada kehidupan islamik.

” Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi seorang lelaki daripada ( fitnah) wanita.”
[ Hadis Riwayat Bukhari]