Rabu, 29 Jun 2011

Aku Yang Berkuasa!

Gila kuasa, taksub melihat kehebatan diri,pendapat peribadi, atau ingin mengambil kesempatan di sebalik ruang-ruang yang ada untuk mencari kesenangan. Maklumlah, dengan jawatan dan kuasa yang ada, boleh melakukan banyak perkara. Mahu jadi kaya raya, atau ingin mencapai matlamat diri agar hati rasa bahagia. Dalam dunia ini, tidak kiralah di sini atau nun jauh di dunia sana, perangai sikap manusia yang gilakan kuasa ada di mana-mana. Tidak kiralah orang ini dalam jemaah yang membawa panji perjuangan, semulia mana dan tingginya kedudukan mereka, apatah lagi tangan-tangan kejam, yakni insan yang sentiasa disanjung tinggi, walaupun dialah penzalim dan penindas rakyat. golongan sebegini tidak perlu dicerita, kerana mereka ada di sana-sini.
Syeikh Muhammad al Ghazali pernah menemui Muryidul Am ketiga Ikhwan Muslimin, Ustaz Umar Tilmisani dalam usaha bekerjasama dan menyumbang untuk Islam . Beliau ditanya oleh Ustaz Umar,
“Kamu tahu pekerjaan ini [memimpin Ikhwan] merupakan beban berat yang terpaksa kupikul dan kuterima ?”
Muhammad al Ghazali menjawab,
“Aku tahu hal itu. Kerana itu bermatlamat tampil di depan dan tidak inginkan jawatan. Orang seperti anda sangat berhak mendapat perlindungan dan bimbingan Allah”
Dalam memimpin sebuah organisasi perjuangan, bebanan pelbagai amanah dan tanggungjawab sepatutnya menjadi perkara sesuatu yang sangat berat untuk dipikul. Tapi apa yang jelas hari ini, budaya jatuh-menjatuhkan, fitnah dan mereka cerita untuk menjatuhkan sesiapa saja yang mereka tidak suka, seolah-olah sudah menjadi halal di pandangan manusia. Mereka berkata, seolah-olah ia benar belaka, setelah diolah, dicampur pelbagai ramuan hujah, maka jadialah ia satu menu yang kelihatan seperti benar, namun segalanya adalah batil dan penipuan semata-mata. Hipokrit dengan perjuangan peribadi, tiada kesatuan dalam berfikir dan bergerak. Segala yang dirancang, akan menjadi sia-sia dan tidak dapat dijalankan, hancur terlerai begitu saja, kacau bilau jadinya. Inilah yang berlaku di mana-mana organisasi selagi mana orang sebegini ada.
Andai Jimi Hendrix, seorang gitaris Rock A berkata,
“Ketika kekuatan akan cinta melebihi kecintaan akan kekuasaan, maka dunia pun menemukan kedamaian.”
Apa yang jelas hari ini, dalam dunia yang penuh dengan nilai kemanusian yang zalim, telah hilang cintanya pada kebenaran, apa yang tumbuh subur ialah sikap ingin mendapatkan kuasa dengan cara penjajahan dan penindasan. Si anak kecil yang tidak tahu apa-apa, sudah pandai melaungkan semangat kesatuan, namun selalunya mereka ini dikatakan sebagai orang yang tidak matang. Si anak muda yang mahu bangkit mengibarkan panji kebenaran, akan dilabel sebagai pengganas, agresif, emosional dan yang sama maksud dengannya. Maka, akan nampaklah mereka seperti golongan yang salah, dibuka seluas-luasnya cerita mengenai cara mereka yang tidak kena.
Maka jelaslah seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w,
“Apabila pemerintah mereka tidak memerintah mengikut kitabullah, ketahuilah bahawa Allah s.w.t, akan pecah-belahkan mereka dan menjadikan mereka berbalahan sesama sendiri. ” [Riwayat ibnu majah]
Dalam mana-mana sistem pentadbiran, sekiranya ia lari daripada mengkuti landasan yang sebetulnya, sama ada orang islam atau pun bukan islam, yang pastinya akan menjadi kacau bilau. Ketidakadilan, penindasan, bermesyuarat dan membuat keputusan dengan pihak yang tidak sepatutnya, walaupun ia berniat baik atau jahat, selagi mana ia tidak mengikut landasan dan cara yang betul ini, pastinya akan mengundang bencana perpecahan. Dengan alasan,
“Saya berkuasa kerana saya adalah pemimpin”
Kenyataan ini merupakan satu kesilapan besar, bagi mereka yang berjawatan besar. Hari ini, tiada siapa lagi yang kebal boleh bersikap autokratik dalam kepimpinan. Mungkin orang lain boleh menjalankan kerja yang diberikan itu, tetapi akan timbul satu perkara, tiada rasa hormat dan kepercayaan kerana ia bukanlah keputusan yang dibuat bersama. Pemimpin itu mungkin agak sukar untuk hilang kuasa, tapi yang pastinya dia akan kehilangan pengaruh dan kepercayaan oleh mereka yang dipimpin. Bila saja dia berkata, kelihatan orang lain mendengar, namun sebenarnya apakah mereka yang mendengar menerimanya sebagai satu idealisme, iktibar, dan panduan? Saya katakan tidak !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan